Hikayat Abdullah
Menurut Hashim Awang 1985 kesusasteraan didefinisikan
sebagai ciptaan atau hasil seni yang disampaikan melalui bahasa ; sastera
membentuk tamadun; hubungannya rapat dengan masyarakat iaitu situasi yang
berlaku melibatkan pergolakan yang berlaku dalam masyarakat. Kamus Dewan pula
mendefinisikan karya kesusasteraan sebagai hasil seni iaitu karya tulisan dalam
bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu.
Menurut Siti Hawa Salleh (1997) pula menyebutkan kesusasteraan meliputi segala
hasil penciptaan yang menggunakan alat pertuturan atau bahasa dan tulisan
sebagai alat penyampainya.
Melalui definisi yang telah dinyatakan , dapatlah dirumuskan bahawa kesusasteraan
merupakan hasil seni disampaikan melalui pertuturan mahupun penulisan. Idea
penulisan karya kesusasteraan lazimnya tercetus daripada peristiwa-peristiwa
realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian. Penulis karya kesusasteraan
bertindak sebagai pemerhati kejadian yang berlaku disekelilingnya.
Sastera zaman Abdullah Munsyi dikatakan pemisah antara zaman sastera Melayu dan
zaman satera Melayu baru. Hal ini kerana wujud pembaharuan yang dilakukan dalam
penghasilan karya sastera. Jika dahulu karya yang dihasilkan adalah berunsur
khayalan , tahyul dan ghaib. Malahan wujud sesetengah karya yang terlalu
mengagung-agungkan kerabat diraja sedangkan pada hakikatnya golongan inilah
yang paling banyak menindas rakyat. Abdullah Munsyi membawa perubahan
apabila beliau mula menghasilkan karya-karya yang secara lantang mengkritik
sikap orang-orang Melayu dan institusi beraja. Walaupun ianya dilihat sebagai
pengaruh yang negatif pada masa tersebut , namun sedikit sebanyak kritikan
tersebut membuka mata orang-orang Melayu agar menyedari tiada siapa yang akan
membela nasib bangsa Melayu melainkan mereka sendiri yang mempertahankannya.
2.0 SEJARAH KELAHIRAN.
2.1 LATAR BELAKANG
ABDULLAH MUNSYI.
Abdullah Munsyi atau lebih dikenali sebagai Bapa
Kesusasteraan Melayu Moden merupakan penulis pertama yang membina unsur-unsur
dalam Sastera Melayu (Ismail Yusoff 2008:155).Hal ini kerana karya-karya yang
dihasilkan oleh beliau merupakan karya yang lebih berunsur realistik. Beliau
merupakan tokoh pelopor yang mula-mula keluar dari kebiasaan lama yang
melanggar dan mematahkan tradisi yang sekian lama menjadi ikutan. Abdullah
Munsyi memalingkan penanya dari menulis cerita-cerita khayalan mahupun ghaib
kepada bentuk penceritaan yang lebih bersifat kenyataan. Karya-karya yang
dihasilkannya adalah berdasarkan pengalaman, pengamatan dan kisah kejadian
sebenar yang berlaku disekelilingnya setiap hari.
Menurut Hamzah Hamdani dalam Hikayat Abdullah (2007:9)
Abdullah Munsyi dilahirkan pada 7 Safar 1211 Hijrah iaitu selepas lapan bulan
Inggeris mengambil Melaka dari tangan Belanda pada 15 Ogos 1795. Beliau
dilahirkan di Kampung Pali dalam bahasa Keling ertinya Kampung Masjid.Abdullah
mempunyai empat orang adik beradik, namun kesemuanya meninggal dunia semasa
kecil. Abdullah mempunyai darah keturunan Arab daripada moyangnya Syeikh Abdul
Kadir yang merupakan seorang yang berbangsa Arab daripada keluarga Uthmani yang
berasal dari Yaman. Darah keturunan India muslim pula diperoleh dari sebelah
ibunya yang bernama Salmah.
Bapa Abdullah bernama Syeikh Abdul Kadir merupakan
seorang yang sangat berkebolehan. Beliau terlibat sebagai penulis dalam
aktiviti membuat surat kiriman kepada raja-raja Melayu dalam bahasa Melayu dan
menjadikannya sebagai sumber pendapatan. Bapa abdullah sangat tegas dalam
mendidik Abdullah supaya dapat mewarisi kebolehan yang dimilikinya. Semasa
Abdullah kecil , beliau sering diserang penyakit. Menurut kepercayaan
masyarakat pada masa itu anak yang sering sahaja sakit hendaklah ‘dijual’ kepada
keluarga lain secara simbolik. Abdullah telah dijual sekurang-kurangnya tujuh
kali oleh ibubapanya bagi menyembuhkan penyakitnya. Melalui beberapa karyanya
beliau ada menyatakan kekesalannya terhadap kepercayaan masyarakat pada masa
itu yang terlalu percaya kepada perkara tahyul. Gelaran Munsyi diperolehinya
apabila Abdullah mengajar askar-askar dari India bertutur dalam bahasa Melayu.
3.0 SEJARAH NEGERI
SINGAPURA.
Sekitar tahun 1824 , di dalam hikayat Abdullah Munsyi
telah mencatatkan peristiwa dimana telah berlaku satu rampasan kuasa oleh pihak
East India Company (EIC) terhadap negeri Singapura. Singapura pada
asalnya berada dibawah naungan Melayu Johor-Riau.
Melalui catatan Abdullah Munsyi , penyerahan Singapura berlaku bermula dengan
rundingan yang dilakukan oleh pihak EIC bersama dengan pemerintah kerajaan
Johor-Riau pada ketika itu iaitu Sultan Husin Syah dan Temenggung Abdul Rahman.
Alasan yang diberikan oleh pihak EIC adalah untuk mengelakkan kekeliruan rakyat
lantaran Singapura yang berada di bawah pemerintahan dua kuasa iaitu kerajaan
Johor dan kerajaan Riau.EIC menawarkan kedua-dua pemerintah ini dengan sejumlah
pampasan tinggi yang akan dibayar dengan serta merta dan tambahan bayaran
pencen bulanan sepanjang hayat. Selain itu pihak EIC turut akan meningkatkan
lagi jumlah bayaran sekiranya Sultan Husin Syah dan Temenggung Abdul Rahman
ingin berpindah keluar darpada negeri tersebut.
Pada keesokkan hari setelah tawaran itu dinyatakan , Sultan Husin Syah dan
Temenggung Abdul Rahman telah menyatakan persetujuan terhadap tawaran tersebut.
Crowfurd yang merupakan residen pada masa tersebut sangat gembira dengan
perkhabaran tersebut lantas mengirimkan jemputan datang ke kediamannya untuk
menandatangani surat perjanjian penyerahan kuasa Singapura kepada pihak EIC.
Menurut catatan Abdullah Munsyi pada tarikh 2 Ogos 1824 secara rasminya negeri
Singapura telah diserahkan kepada pihak EIC melalui perjanjian yang telah dimeterai
antara pihak EIC dan pemerintah Singapura. Perjanjian ini telah disahkan oleh
Majlis Tertinggi EIC di Bengal pada 19 November 1824. (Zahari A. Rashid. 2008:
184-187)
4.0 SEJARAH PELAYARAN
ABDULLAH MUNSYI KE PANTAI TIMUR.
Kebijaksanaan Abdullah Munsyi menguasai pelbagai
bahasa antaranya bahasa Melayu , bahasa Tamil dan bahasa Inggeris membolehkan
beliau memanfaatkannya bekerja sebagai jurutulis atau jurubahasa. Pada bulan
Mac 1838 , beliau telah diberi peluang oleh pihak Inggeris untuk mengikuti
pelayaran ke negeri Kelantan. Abdullah Munsyi telah mencatatkan pengalamannya
sepanjang belayar itu di dalam kisah pelayaran Abdullah Munsyi Ke
Kelantan Dan Terengganu.
Pelayaran kapal Inggeris yang disertai oleh Abdullah Munsyi ke Kelantan adalah
bertujuan untuk meminta jasa baik Yang di-Pertuan Kelantan pada ketika itu
untuk memelihara barang dagangan Inggeris yang disekat keluar disebabkan oleh
peperangan yang berlaku di negeri Kelantan. Pelayaran ke Kelantan melalui
beberapa perairan buah negeri seperti Pahang , dan Terengganu. Sepanjang
pelayaran menuju ke Kelantan pelbagai peristiwa dan budaya yang berbeza dapat
dilihatnya.
Semasa kapal pelayarannya singgah di Pahang beliau menceritakan rakyat di
Pahang seolah-olah melihat sesuatu yang ajaib apabila mereka singgah disitu.
Negeri Pahang begitu kaya dengan hasil tumbuh-tumbuhan berikutan kesuburan
tanah yang dimilikinya. Namun pada pandangan Abdullah Munsyi sangat sia-sia
kerana penduduknya malas bekerja. Hanya beberapa orang penduduk yang dilihat
bekerja. Keadaan di Pahang dikatakan sangat mundur kerana sukar untuk menemui
pasar mahupun kedai bagi memperolehi barangan harian. Lebih menyebabkan
Abdullah Munsyi terkilan , wujud beberapa tempat yang mengajar mengaji namun
tidak seorang pun memahami apakah maksud ayat yang diujarkan oleh mereka.
Di Terengganu pula , Abdullah Munsyi kecantikkan negeri itu yang berpasir
putih. Namun Abdullah Munsyi merasa tidak senang dengan larangan-larangan yang
tidak masuk akal dikenakan terhadap rakyat. Contohnya pemakaian barangan
bewarna kuning tidak dibenarkan melainkan kerabat diraja sahaja yang layak
menggunakannya. Adat berjual beli hamba juga sangat bebas berlaku di
Terengganu. Abdullah Munsyi turut mencatatkan dialek bahasa Terengganu yang
gemar menambah –ng pada penghujung kata. Contohnya bulan disebut bulang , tuan disebut
tuang dan jangan disebut jangang. Golongan wanita di
Terengganu dikatakan sangat rajin bekerja bagi memperoleh pendapatan. Tapi
sayangnya golongan lelaki pula sangat malas bekerja dan hanya duduk di rumah
bersama anak-anak tanpa melakukan sebarang pekerjaan yang berfaedah. Menurut
Abdullah Munsyi lagi harga barangan yang dijual di Terengganu lebih murah
berbanding dengan harga di negeri-negeri lain. Rakyat di Terengganu dikatakan
malas bekerja. Namun begitu rakyatnya bersikap sedemikian kerana sikap raja
yang suka merampas harta rakyat. Raja sesuka hati merampas hasil-hasil
pertanian rakyat tanpa kerelaan. Justeru itu pada fikiran rakyat untuk apa
bersusah payah bekerja keras sedangkan hasilnya nanti bukan mereka yang dapat
menikmatinya.
Setibanya di Kelantan pula , Abdullah Munsyi merasakan keanehan kerana
penduduknya tidak gemar memakai kasut. Namun begitu negeri Kelantan kaya dengan
hasil penternakan dan pertanian. Abdullah Munsyi turut menyatakan dialek yang digunakan
oleh orang Kelantan, contohnya perkataan sangatdisebut sanga’, minyak disebut minyok dan encik disebut ci’.
Menurut Abdullah Munsyi terdapat ramai perempuan jalang di Kelantan. Hal ini
kerana beliau melihat pada setiap petang ramai perempuan yang berkemban , tidak
berbaju dan bersanggul rambutnya berjalan-jalan. Namun beliau turut memuji
keacantikkan sanggul yang diperbuat daripada karangan bunga-bunga yang sebelum
ini tidak pernah dilihatnya. Pegangan agama pada ketika itu tidak kuat kerana
Abdullah Munsyi dapat melihat dengan jelas bilangan orang yang melakukan
aktiviti perjudian dan menyabung ayam lebih banyak berbanding orang yang
mengerjakan suruhan Allah yang sangat sedikit bilangannya.
5.0 SEJARAH PEPERANGAN
MELAKA.
Menurut Darus Ahmad (1957: 73-74) peperangan di
negeri Melaka telah berlaku akibat daripada pengenaan cukai oleh pihak Inggeris
terhadap penduduk yang telah mencetuskan kemarahan pemimpin Naning pada ketika
itu iaitu Dato’ Dol Said . Abdullah Munsyi ada mencatatkan bahawa pada ketika
itu beliau berulang alik dari Singapura ke Melaka bagi memenuhi tuntutan
pekerjaannya. Dato’ Dol Said pada ketika itu telah mengumpulkan orang-orangnya
dan bersedia untuk menyerang Inggeris pada bila-bila masa sahaja.
Berita mengenai kebangkitan pemimpin Naning Dato’ Dol Said hendak menyerang
Inggeris telah tersebar ke seluruh negeri Melaka dan sampai ke pengetahuan
pihak Inggeris. Askar-askar Inggeris telah dikerahkan bersedia berkawal dengan
meriam dan senjata canggihnya. Dikatakan pada waktu itu rumah tukang besi
sentiasa dikerumuni oleh rakyat Melaka bagi tujuan menempah senjata. Namun
begitu keadaaan masih lahi dapat dikawal.
Tuan Lewis yang menjadi Megistrate di Melaka pada ketika itu mengerahkan
beberapa orang pegawai askar-askar berkelengkapan senjata pergi ke Naning. Hal
ini menyebabkan rakyat Melaka gempar dengan perkhabaran tersebut. Setelah tiga
hari kedua-dua pihak bertempur Tuan Lewis dan askarnya terpaksa berundur ke
Melaka tanpa sempat melarikan kelengkapan senjata masing-masing kerana tewas
dengan serangan balas pengikut Dato’ Dol Said.
Namun begitu, kekuatan pengikut Dato’ Dol Said semakin berkurangan kerana ramai
yang telah membelot. Saki baki pengikutnya yang masih setia melarikan diri ke
dalam hutan dan mengumpulkan semula kekuatan untuk menyerang balas. Ternyata
pertahanan tersebut tidak lama dan akhirnya Dato’ Dol Said terpaksa menyerah
diri kepada pemerintah Inggeris di Melaka lantaran kekuatan askar-askar
Inggeris dan kerjasama pengikut Dato’ Dol Said yang semakin berkurangan.
6.0 SEJARAH SYAIR SINGAPURA
TERBAKAR.
Serta terpandang api itu menjulang
Rasa-nya aruah-ku bagaikan hilang
Di jilatnya rumah serta barang-barang
Seperti anak ayam disambar helang
Seberang menyeberang rumah habis rata
Api-nya chemerlang tiada membuka mata
Bunyi-nya gempar terlalulah gempita
Lemah-lah tulang sendi anggota
Pakaian-ku menyala-lah seperti kertas
Limau manis pun meletup seperti petas
Orang menolong pun terlalu pantas
Merebut barang-barang terlalu lekas
Ringgit pun hancor-lah seperti timah
Habislah meleleh ke bawah rumah
Tiada-lah tentu barang yang di-jamah
Penchuri pun mengangkut-lah bersama-sama
Barang yang hendak ku bawa pulang
Beberapa pinggan mangkok cawan dan dulang
Sakalian-nya itu habislah hilang
Harapan hati-ku bukan kepalang
Menurut Darus Ahmad (1959:70) dalam Munshi Abdullah
Syair Singapura terbakar diilhamkan oleh Abdullah Munsyi daripada kejadian
kebakaran yang berlaku dikawasan tempat tinggalnya di Singapura yang turut
melibatkan rumahnya. Kebakaran telah menyebabkan Abdullah Munsyi kehilangan
harta bendanya. Punca kebakaran dikatakan disebabkan oleh kanak-kanak yang
bermain mercun sempena sambutan perayaan tahun baru Cina.
Pada masa tersebut Abdullah Munsyi sepatutnya pulang
ke negeri Melaka , namun kerana ingin melihat sendiri kemeriahan sambutan tahun
baru Cina di Singapura, beliau membatalkan hasratnya.Sebelum kejadian tersebut
Abdullah Munsyi telah diserang demam kepialu namun setelah kejadian kebakaran
itu demamnya sembuh dengan serta merta akibat terkejut dengan kejadian
tersebut. Selepas kejadian kebakaran itu beliau telah mengarang syair ini yang
akhirnya menjadi salah satu karya yang terkenal kerana bukan sahaja ditulis
dalam bahasa Melayu, malah ia turut diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris.
7.0 PANDANGAN
ABDULLAH MUNSYI TERHADAP WANITA.
Menerusi karyanya , Abdullah Munsyi dilihat sangat
gemar membanding-bandingkan wanita Melayu dan wanita Inggeris. Hubungan baiknya
dengan orang Inggeris menyebabkan beliau begitu mengagumi wanita Inggeris yang
pada pandangannya jauh lebih baik berbanding wanita Melayu. Wanita Inggeris
dilihat sangat pandai membantu suami mereka bekerja. Jika dibandingkan dengan
wanita Melayu, mereka hanya tahu bersolek , membuang masa dan tidur sahaja.
Pada pandangan mata Abdullah Munsyi wanita Melayu tidak mahu bertungkus lumus
bekerja dan memajukan diri mereka supaya setaraf dengan wanita bangsa lain.
Pujian Abdullah Munsyi terhadap wanita Inggeris adalah dipengaruhi oleh
hubungannya yang begitu akrab dengan keluarga Raffles. Raffles dan isterinya
dikatakan sangat sepadan kerana kedua-duanya berkebolehan membantu kerjaya
masing-masing. Antara pujian yang dicatatkan oleh Abdullah Munsyi menerusi
pantun adalah:
Puyu-puyu konon namanya,
Didalam kolam konon tempatnya ,
Chantek manis barang laku-nya,
Serta dengan manis budi bahasanya.
Dalam kolam konon tempatnya,
Dipijak oleh laksamana,
Chantek manis barang lakunya,
Serta dengan bijaksananya.
Manakala ,antara pantun yang mengkritik wanita Melayu
pula adalah :
Apakah guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya,
Apa guna berbini chantek,
Kalau tidak dengan budinya.
Kalau tidak dengan sujinya,
Pakaian Jawa dirumahnya,
Kalau tidak dengan budinya,
Jauhkan dirimu daripadanya.
8.0 PANDANGAN ABDULLAH
MUNSYI TERHADAP ORANG MELAYU.
Hamzah Hamdani dan Siti Aisah Murad (2004:25) dalam
Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940) menyebut sikap dan pemikiran Munsyi
Abdullah terhadap orang-orang Melayu dan raja-raja Melayu dilihat dengan jelas
dalam kedua-kedua karya autobiografinya. Malahan, disebabkan Abdullah Munsyi
bukanlah berketurunan Melayu maka beliau dengan begitu lantang, berani
mengkritik orang-orang dan raja-raja Melayu pada masa itu. Namun itu bukanlah
bermaksud beliau membenci orang-orang Melayu. Hakikatnya Abdullah Musyi terkilan
dengan sikap orang-orang Melayu yang seolah-olah mengabaikan bahasa Melayu
sedangkan bahasa Melayu pada ketika itu merupakan bahasa Lingua Franca yang
digunakan oleh ramai orang diserata dunia.
Malahan sikap orang-orang Melayu yang tidak mahu
menerima ilmu baru seperti ilmu kira-kira dan elektrik sedangkan ia amat
berguna dalam kehidupan seharian menimbulkan perasaan kurang senang Abdullah
Munsyi terhadap pendirian orang-orang Melayu pada masa itu. Antara petikan
dalam karyanya yang menyatakan tentang pandangannya terhadap orang-orang Melayu
ialah:
“Maka jikalau kiranya kukhabarkan sekelian itu(tentang
ilmu-ilmu baru seperti kemajuan elektrik) kepada orang-orang Melayu nescaya
ditutup oleh mereka itu telinganya serta menampar mukaku, katanya terlalu besar
bohong”. (Munsyi
Abdullah , 1960: 257-258).
“.....bukankah berguna kepada kamu sekelian ilmu
kira-kira itu?maka jikalau tidak tahu ilmu kira-kira itu kelak,bagaimana engkau
hendak berniaga jual beli?Dan lagi pula beberapa banyak nasihat yang kuberi
tiada juga mereka itu endahkan” (Munsyi Abdullah , 1960:120).
“shahadan adapun
dari-hal anak muda-muda yang pada zaman itu, tiadalah sa’orang pun yang ingin
dengan suka-hatinya hendak belajar akan pekerjaan dari-hal tulis menulis dan
bacha surat Melayu itu melainkan akulah sahaja orang yang hina lagi miskin dan
bodoh ; hendak berniaga pun, mak bapa-ku oarang miskin, tiada berharta sebab
itula ku tuntut benar-benar, sehingga aku menerima-lah pusaka serta
mewarithi akan kalam tuan-tuan yang tersebut nama-nya di-atas tadi. (Munsyi
Abdullah 1960:31-32).
Abdullah sangat terkilan apabila orang-orang Melayu
sendiri tidak mahu mendalami tentang bahasa Melayu dan lebih mementingkan
bahasa lain kerana menganggap bahasa Melayu hanya untuk tujuan keduniaan
sahaja. Pada pandangan Abdullah Munsyi orang-orang Melayu tidak akan mencapai
kemajuan sekiranya terus berada ditakuk lama. Sedangkan beliau sendiri bukan
orang Melayu begitu menghargai kepentingan bahasa Melayu dan bersungguh-sungguh
mempelajarinya. Bagi Abdullah Munsyi pada waktu itu “terlalu mahal” orang yang
tahu menulis dan mengarang dalam bahasa Melayu kerana bilangannya yang terlalu
sedikit.
8.0 REFLEKSI
PENDAPAT TERHADAP PANDANGAN ABDULLAH MUNSYI TERHADAP ORANG-ORANG MELAYU.
Karya Abdullah Munsyi banyak menyatakan perasaan
kurang senangnya terhadap sikap orang-orang Melayu tentang beberapa perkara.
Antaranya ialah tentang pengabaian terhadap bahasa Melayu oleh orang-orang
Melayu sendiri , sikap dan layanan raja-raja Melayu terhadap rakyat dan sikap
orang Melayu itu sendiri.
Isu pengabaian terhadap bahasa Melayu jika dilihat
bukan sahaja berlaku pada era Abdullah Munsyi namun sehingga kini ia masih
diperkatakan. Hakikatnya ada benarnya ktitikan Abdullah Munsyi pada ketika itu.
Orang Melayu pada ketika itu masih lagi tidak dapat melihat kepentingan bahasa
Melayu sedangkan ianya menjadi antara bahasa terpenting yang digunakan oleh
pelbagai lapisan masyarakat dalam menjalankan pelbagai urusan harian.
Masyarakat Melayu pada ketika itu lebih ghairah ingin mempelajari bahasa Arab
yang dikatakan dapat digunakan di dunia dan akhirat. Hal ini mungkin berlaku
disebabkan oleh pengaruh Islam yang masih lagi baru bertapak di Tanah Melayu
dan dasar-dasar kerajaan pada masa itu yang menggalakkan ilmu-ilmu dari Tanah
Arab berkembang pesat di Tanah Melayu. Tetapi ajaran agama Islam juga menuntut
kita untuk mempelajari pelbagai ilmu agar dapat menggunakan ilmu yang dimiliki
ke arah kebaikan. Antara petikan kritikan beliau daripada karyanya yang
menyatakan sikap lalai orang Melayu yang dapat kita jadikan pengajaran agar
kita menghargai bahasa Melayu hingga kini:
“...orang Melayu ini belum sedar akan dirinya , ia
tinggal dalam bodohnya oleh sebab tiada mahu belajar bahasanya sendiri”(Hikayat Abdullah: 36)
Perkara kedua yang sering menjadi kritikan Abdullah
Musnyi terhadap orang Melayu ialah layanan raja-raja Melayu terhadap rakyat.
Golongan bangsawan dan kerabat diraja diberi kuasa sewenang-wenangnya
memerintah dan menjadi wakil raja tanpa mengira kebolehan dan keupayaan mereka.
Hal ini telah menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penindasan kehidupan
rakyat. Rakyat yang lemah hanya mampu akur dan tunduk dengan perintah raja
kerana takut dengan hukuman yang akan diterima sekiranya mereka tidak taat
kepada raja. Namun jika dilihat daripada sudut pandangan lain , hal ini berlaku
kerana pengaruh sistem dewaraja yang dibawa oleh agama Hindu.
Pada ketika ini Islam masih lagi ‘hijau’ dan terlalu baru. Namun setelah
kedatangan Inggeris , kuasa raja mula terbatas dan bermulanya suatu corak pemerintahan
baru di Tanah Melayu.
Abdullah Munsyi juga ada menyatakan dalam karyanya
yang mengecam sikap lalai orang-orang Melayu seperti sikap malas berusaha ,
suka bersabung ayam , meletakkan tanggungjawab di bahu perempuan dan suka
memakan makanan yang tidak berkhasiat seperti pekasam , tempoyak , ikan masin ,
jering , petai dan lain-lain lagi. Namun begitu , punca sikap malas orang
Melayu ini adalah disebabkan oleh sikap raja yang suka memeras ugut rakyat pada
ketika itu. Golongan pemerintah sewenang-wenangnya mengambil hak rakyat dan
rakyat seolah-olah hidup hanya untuk berbakti kepada raja semata-mata. Hal ini
menyebabkan rakyat menjadi kecewa dan tidak mahu bekerja keras untuk mengubah
kehidupan mereka.
Mengenai hal pemakanan , mungkin kerana Abdullah
Munsyi bukanlah berasal keturunan Melayu maka beliau menganggap makanan
tersebut tidak berkhasiat sedangkan makanan tersebut bukanlah diambil dalam
kuantiti yang banyak sehingga boleh menjejaskan kesihatan. Malahan sebenarnya
makanan inilah yang menjadi simbol identiti dan keunikkan masyarakat Melayu
sehingga kini. Setiap bangsa lain juga mempunyai makanan yang tersendiri yang
memperlihatkan identiti bangsanya. Justeru itu tidak hairanlah mengapa Abdullah
Munysi mengeluarkan kritikan yang sedemikian kerana beliau bukanlah orang
Melayu tulen.
10.0 PENUTUP.
Secara keseluruhan dapatlah kita simpulkan
bahawa Abdullah Munsyi bukanlah tokoh sembarangan yang boleh disamakan dengan
tokoh-tokoh kesusateraan yang lain. Abdullah Munsyi berjaya mencipta
identitinya yang tersendiri apabila beliau berani membuka pintu baru dan
memalingkan penanya dalam penghasilan karya kesusasteraan di alam Melayu.
Malahan beliau turut berani menentang dan menyuarakan dengan lantang seandainya
ada sesuatu perkara itu dirasakan tidak betul.
Abdullah Munsyi tidak sekadar menghasilkan karya kritikan yang bermutu ,
malahan beliau juga merupakn peneraju penting yang menghalakan dunia
kesusateraan Melayu agar lebih bersifat realistik dan mempamerkan kebenaran
walaupun pahit untuk diterima oleh masyarakat. Keberanian beliau mengkritik
institusi diraja yang dilihatnya bersifat tidak adil dan lebih banyak menzalimi
rakyat wajar dipuji. Bak kata pepatah “raja adil raja disembah , raja zalim
raja disanggah”. Hal ini bermaksud walaupun pemimpin , sebagai rakyat kita
tidak harus membiarkan kezaliman terus berleluasa sedangkan rakyat menderita.
Namun begitu , tidak dapat dinafikan Abdullah Munsyi bersifat sedemikian kerana
beliau bukanlah berketurunan Melayu tulen. Justeru itu , beliau tidak
teragak-agak untuk melontarkan pandangan beliau walaupun pada mata masyarakat
ia melanggar batas antara pemerintah dan rakyat.